NOTA UNTUK PEGAWAI KERAJAAN
Akta bayaran dan adjudikasi industri
binaan atau singkatan dalam Bahasa Inggerisnya CIPAA telah mula beroperasi pada
15hb April 2014. Akta ini menyediakan mekanisma ‘ADJUDIKASI’ untuk mengadili
pertikaian yang berlaku diantara pihak pihak yang berkontrak. Akta ini
bertujuan untuk mengawal aliran tunai industtri binaan Selain itu ia juga
bertujuan untuk menyeimbangkan kembali terma kontrak berat sebelah diantara
majikan dan kontraktor.
Dengan adanya akta ini maka pihak kontraktor sudah
boleh menyaman pihak kerajaan jika sekiranya kerajaan melanggar terma kontrak
atau pegawai pegawai kerajaan bersikap cuai dan tidak adil didalam menjalankan
tugas mereka. Jika kalah didalam prosiding adjudikasi, kerajaan akan terpaksa
menanggung kos tambahan yang berupa kos faedah, kos prosiding adjudikasi dan kos
penyediaan dokumen oleh pihak yang menang.
Untuk mengelakkan dari kesan negatif
akta ini, kerajaan mestilah memastikan mereka mempunyai bajet dan peruntukan
yang mencukupi sebelum memulakan projek dan kontraktor dibayar mengikut terma
perjanjian.
Ketika ini agensi dan jabatan kerajaan
mungkin merasakan mereka kebal dan tidak ada kontraktor yang akan menyaman
mereka. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kesukaran proses membuat tuntutan
dan mendapatkan keadilan pada masa ini. Kes timbangtara atau mahkamah memakan
masa bertahun tahun. Ini tidak memberi ruang kepada kontraktor kerana
selagi mana kes mereka tidak diputuskan maka nama mereka akan disenarai hitamkan
dari tender kerajaan.
Namun begitu atas sifat akta ini yang
memudahkan proses adjudikasi maka ruang untuk saman menyaman dibawah pengadilan
CIPAA akan terbuka luas. Dijangkakan para pembekal dan subkontraktor tidak akan
teragak agak untuk mengambil tindakan terhadap kontraktor utama jika sekiranya
kontraktor utama gagal membuat pembayaran yang tetap (regular) dan tepat pada
masanya. Maka jika sekiranya sebab utama kegagalan kontraktor utama itu adalah
berpunca dari kegagalan agensi atau jabatan kerajaan yang terbabit membuat
bayaran yang tetap dan tepat pada masanya kepada beliau maka kontraktor utama
juga mungkin tidak mempunyai pilihan lain melainkan turut mengambil tindakan
yang serupa terhadap agensi atau jabatan kerajaan yang terlibat. Sementelahan
keputusan adjudikasi dibuat dalam tempoh yang singkat (± 3 bulan) maka tempoh
senarai hitam mereka akan segera berakhir dengan berakhirnya proses adjudikasi.
Tambahan pula sekiranya ramai kontraktor yang mengambil tindakan terhadap
kerajaan maka apakah mampu kerajaan menyenarai hitamkan sebegitu ramai
kontraktor dari memasuki tender tendernya.
Persoalan seterusnya ialah bila ini
berlaku dan kerajaan berada di pihak yang kalah dan terpaksa menanggung kos kos
tambahan yang tiada didalam bajet asal projek maka siapakah yang akan
bertanggungjawab menanggung segala bentuk kos tambahan akibat dari kekalahan itu.
Kos ini walaupun tidak besar tetapi mengundang seribu satu masalah kepada
pegawai yang terlibat menjaga projek.
Sementara itu untuk projek yang sedang
berjalan sekarang ini, proses bayaran untuk kerja kerja perubahan (Variation
Order) mengikut akta ini mesti dibayar secara progresif mengikut sijil bayaran
interim. Penilaian kerja mesti dibuat dengan adil dan bayaran mesti dibuat
secara penuh mengikut peringkat kerja yang telah dilaksanakan. Majikan tidak
boleh lagi membayar 50 % atau 75% dari nilai kerja arahan perubahan tersebut
sementara menunggu proses kelulusan dari pegawai atasan sepertimana yang lazim diamalkan
sebelum akta ini berkuatkuasa.
Justru
itu kelulusan arahan perubahan dan kadar harganya mestilah dipersetujui
terlebih dahulu sekiranya jenis kerja arahan perubahan itu tiada didalam jadual
kadar harga atau didalam kontrak sebelum kerja arahan perubahan itu dikeluarkan.
Kegagalan mematuhinya akan menyebabkan kerajaan terdedah kepada saman dibawah
akta ini. Justru itu ia amat memerlukan jabatan dan agensi kerajaan menukar
sedikit birokrasi jabatan yang sedia ada pada ketika ini.
Proses kelulusan
arahan perubahan dan kadar harga mesti dilakukan dengan cepat sebelum arahan
perubahan dikeluarkan kepada kontraktor. Dijangkakan ini amat sukar untuk dilakukan
dan kemungkinan kerajaan dibawa ke pengadilan adjudikasi bersebab dari perkara
ini adalah besar. Sekiranya kerajaan kalah disebabkan oleh masalah birokrasi
ini kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan yang berupa kos prosiding
adjudikasi, kos penyediaan tuntutan oleh kontraktor dan lain lain kos lagi yang
dibenakan oleh akta ini.
Didalam hal yang berkaitan dengan
lanjutan masa (EOT) sekiranya kerja telah terlambat dan kontraktor memohon
lanjutan masa dan pegawai penguasa pula tidak melayan permohonan EOT tersebut
mengikut lunas lunas keadilan maka kontraktor juga boleh mengambil tindakan
adjudikasi terhadap kerajaan bilamana kerajaan mula membuat tuntutan ganti rugi
kerja tidak siap (LAD). Mengambil kira akta ini Pegawai Penguasa perlu membuat
pertimbangan yang sistematik untuk menilai setiap permohonan lanjutan masa dari
kontraktor. Keputusan yang bersifat “impressionistic” boleh dibawa ke
pengadilan adjudikasi sekiranya kontraktor tidak berpuashati.
Disana pengadilan
adjudikasi berkemungkinan akan meminta Pegawai penguasa membuktikan keputusan
beliau mengikut kaedah penilaian yang sistematik dan munasabah mengikut lunas
lunas kontrak dan piawaian industri. Sekiranya gagal maka kerajaan mungkin
kalah dan menanggung kos tambahan yang juga tiada didalam bajet asal yang
berupa kos prosiding adjudikasi, kos penyediaan tuntutan oleh kontraktor dan
lain lain kos yang dibenarkan untuk dituntut dibawah akta ini.
Kontraktor juga boleh menyaman kerajaan
jika sekiranya pegawai pegawai yang menjaga projek cuai didalam menjalankan
tugas mereka seperti gagal membuat penilaian yang tepat untuk bayaran interim.
Jika sekiranya kontraktor merasakan dibuli oleh pegawai dan mempunyai bukti
bahawa pegawai telah “ under value” bayaran yang sepatutnya diterima oleh
mereka maka akta ini membenarkan mereka untuk membuat tuntutan terus kepada
pihak kerajaan dan kerajaan perlu bertanggungjawab diatas kesilapan pegawai
pegawainya termasuk menyediakan bajet untuk menampung kos prosiding adjudkasi
dan lain lain kos yang dibenarkan oleh akta ini.
Sebarang pertikaian seperti diatas kini
boleh dibawa segera ke pengadilan adjudikasi oleh pihak kontraktor tanpa menunggu projek tamat atau kontrak
ditamatkan sepertimana proses timbangtara atau mahkamah. Proses adjudikasi akan
terus dimulakan bilamana pihak kontraktor merasa terkilan dan mengambil tindakan memulakannya sesudah berlaku
pertikaian seperti yang diatas.
Keputusan akan dikeluarkan dalam tempoh yang
singkat dan sekiranya kontraktor adalah pemenang maka beliau mempunyai beberapa
remedi untuk dilaksanakan terhadap kerajaan. Antaranya ialah beliau boleh
memperlahan dan memberhentikan kerja sehingga bayaran yang dipertikaikan itu
diterima. Ini akan menyebabkan kelewatan projek dan imej jabatan pelaksana akan
tercemar dimata pelanggan.
MINDA WIBAWA RESOURCES
HJ ISMAIL BIN OMAR
(ADJUDIKATOR BERTAULIAH)
No comments:
Post a Comment